Tuesday, August 9, 2016

Orang Melayu Penduduk Asal

KUALA LUMPUR – Orang Melayu merupakan penduduk asal Tanah Melayu yang dahulunya dikenali sebagai sebahagian Benua Sunda yang tenggelam pada akhir zaman ais, kira-kira 50,000 tahun lalu.

Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Salleh Yaapar berkata, orang Melayu yang berhijrah ke daerah lain di kawasan Benua Sunda merupakan seorang perantau dan bukan pendatang kerana mereka bergerak dalam lingkungan kawasan sendiri.

Salleh yang merupakan Pensyarah Kesusasteraan Bandingan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kenyataan yang menyebut bahawa orang Melayu merupakan kaum pendatang adalah tidak benar.

“Sebagai contoh, apabila Parameswara bergerak dari wilayah Palembang ke Singapura dan kemudian ke Melaka untuk membina empayar baharu, beliau bukan pendatang yang datang ke Melaka atau Semenanjung, sebaliknya seorang perantau yang bergerak di dalam wilayahnya sendiri.

“Malah, berdasarkan sejarah, orang Melayu di Tanah Melayu adalah mereka yang berasal dari zaman kerajaan Sriwijaya iaitu semua daerah di bawah empayar itu mengakui diri mereka adalah orang Melayu, dan apabila orang Melayu ketika itu bergerak ke daerah lain, mereka bergerak di dalam kawasan rantaunya sendiri yang dikenali sebagai Benua Sunda,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan bertajuk Melayu: Asal Usul, Migrasi dan Pengembaraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Salleh berkata, masyarakat di negara ini begitu terikut-ikut dengan dasar Kerajaan Singapura yang menganggap masyarakat mereka sebagai pendatang.

“Kerajaan Singapura menjadikannya sebagai satu dasar untuk semua orang mengaku diri mereka sebagai pendatang, tetapi mereka lupa sebelum Singapura tertubuh sebagai negara bangsa, negara itu adalah kepunyaan Sultan Johor.

“Singapura mengambil ketetapan yang tidak betul, dan malangnya orang di sini terikut-ikut dengan turut menganggap kita juga sebagai pendatang kerana Parameswara dahulu datang dari Palembang,” katanya.

Menurutnya, selepas berlaku banjir besar yang menenggelamkan Benua Sunda, keadaan geografi mula berubah seperti yang dapat dilihat di Tanah Melayu, Sumatera dan Borneo sekarang.

“Ketika itu, orang Melayu yang tinggal di sini mula berhijrah ke luar menuju New Zealand ke selatan, Taiwan di utara dan Madagascar,” katanya. - utusan malaysia

No comments:

Post a Comment