Monday, October 10, 2016

Bangsanya Juga Semakin Terpinggir.....

Bahasa Melayu semakin terpinggir
BAGI penduduk asal dalam kebanyakan tempat di Kuala Lumpur terutama di pinggir bandar, pasti mengetahui sejarah pembukaan tempat tinggal mereka.

Namun tentu memilukan apabila tempat tinggal mereka suatu ketika dahulu yang dibuka oleh peneroka asal daripada keturunan Melayu kini ditukar namanya dalam bahasa asing.

Semakin banyak nama kawasan yang asalnya dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu telah ditukar kepada bahasa Inggeris. Ada juga tempat yang baharu dibuka terus dinamakan dalam bahasa Inggeris. Alasan pemaju adalah lebih bersifat komersial.

Sebagai contoh Kerinchi, merupakan sebuah penempatan yang telah dibuka oleh orang Kerinchi dari Sumatera, Indonesia sekitar kurun ke-19. Malah masyarakat tersebut mempunyai identiti dan sejarah unik tersendiri.

Apabila mereka tiba di Kerinchi iaitu sebuah kawasan yang tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, mereka telah membina penempatan dan mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi terutama pertanian.

Setelah lebih 100 tahun mendiami kawasan tersebut dan telah melalui beberapa fasa pembangunan termasuk pembinaan rumah teres, flat kos rendah dan sederhana serta stesen aliran transit ringan (LRT), nama Kerinchi kini dilupakan selepas diberi nama baharu, Bangsar South City.

Perubahan nama daripada Kerinchi kepada Bangsar South City ternyata mencetuskan kemarahan penduduk tempatan kerana pembangunan di kawasan berkeluasan 24 hektar tersebut telah menghakis sejarah pembukaan Kampung Kerinchi.

Secara tidak langsung, pembangunan itu mewujudkan jurang yang ketara apabila hartanah yang dijual mahal dan tidak mampu dibeli penduduk tempatan. Di situ sahaja, sudah hilang identiti budaya bangsa.

Jika nama Kerinchi masih lagi tercatat pada papan tanda jalan, nama Kampung Abdullah Hukum pula hanya dicatatkan pada stesen LRT.

Kampung Abdullah Hukum mempunyai sejarah yang hampir sama dengan Kerinchi. Malah kedudukannya juga tidak jauh dari Kerinchi iaitu kira-kira dua kilometer sahaja dan terletak lebih dekat dengan pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Hari ini, Kampung Abdullah Hukum sudah lenyap, hanya tinggal nama yang suatu masa nanti pasti akan dilupakan. Atas nama pembangunan, rumah-rumah kampung telah dirobohkan dan diganti dengan pangsapuri dan kondominium mewah, KL Eco City.

Sebuah lagi pembangunan yang tidak melambangkan identiti Malaysia ialah pembukaan kawasan perumahan mewah berhampiran Taman Melati, yang telah dinamakan sebagai KL East.

Selain kawasan sekitar Kuala Lumpur, terdapat juga tempat-tempat lain yang telah dinamakan dalam bahasa asing seperti Ainsdale, Bangi Gateway dan sebagainya.

Melihat perkara tersebut, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin melahirkan rasa terkilannya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang merendahkan martabat bahasa Melayu atas tiket pembangunan.

“Saya sedih melihat bahasa Melayu terhina di negara sendiri. Siapa lagi yang nak mengangkat martabatnya, kalau bukan kita, rakyat negara ini.

“Melihat nama tempat dan rancangan televisyen menggunakan bahasa asing, ia umpama satu tragedi buat bahasa Melayu. Meskipun ada undang-undang dan garis panduan tetapi penguatkuasaannya amat lemah.

“Semua pihak perlu ada semangat patriotik untuk memperkasakan bahasa Melayu. Untuk apa gunakan bahasa asing bagi menamakan tempat di negara kita?.

“Kita ada perkataan yang sesuai, misalnya Bangi Gateway dan KL Gateway, kenapa tidak dinamakan Gerbang Bangi dan Gerbang KL?” katanya ketika ditemui.- utusan

No comments:

Post a Comment