Wednesday, March 1, 2017

Mengemis Di Negara Sendiri......

Kembalikan Hak Bahasa Melayu
SESI Wacana Bahasa Me­layu siri kedua bertajuk Sidang Bersama Sasterawan Negara di ibu pejabat Kumpulan Utusan pada 22 Februari lalu agak panas apabila pakar bahasa, Prof. Abdullah Hassan menyifatkan pihak yang meminggirkan bahasa kebangsaan sebagai pengkhianat.

“Saya anggap orang Melayu yang sanggup meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri kerana lupa diri atau mempunyai kepentingan lain sebagai pengkhia­nat bangsa yang tidak harus dimaafkan,” katanya.

Walaupun ungkapan beliau agak kasar tetapi itulah gelaran yang pa­ling layak ditujukan kepada pihak-pihak yang secara terang-terangan ‘menyahkan’ bahasa Melayu.

Istilah itu digunakan oleh seorang lagi ahli panel yang juga pejuang bahasa, Dr. Firdaus Abdullah bagi merujuk kepada agenda terancang pihak tertentu meminggirkan Bahasa Kebangsaan dengan matlamat apabila bahasa Melayu tidak dituturkan, dengan sendirinya budaya dan agama kaum itu akan terhapus.

Contoh paling nyata apabila kampung-kampung Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampung Kerinchi serta Kampung Haji Abdullah Hukum diruntuhkan dan kawasan itu dibangunkan bangunan pencakar langit dengan nama baharu dalam bahasa Inggeris se­perti Bangsar South dan KL Eco City.

Tindakan pihak berkenaan jelas sekali mengingkari titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada 5 Oktober lalu, yang meluahkan kekesalan apabila semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), dinamakan de­ngan bahasa Inggeris.

Dalam budaya orang Melayu, apabila raja atau sultan bertitah maknanya perkara itu adalah satu perintah. Malangnya, titah itu tidak dihiraukan oleh sebahagian besar orang Melayu.

Respons hanya diberikan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kumpulan Utusan dengan sokongan DBP serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang telah menganjurkan Wacana Bahasa Melayu siri pertama di Dewan Besar Utusan, Kuala Lumpur, pada 19 Januari lalu, yang dihadiri ramai pejuang bahasa.

Bagi wacana siri kedua, dua Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan turut dijemput sebagai ahli panel bagi memperbetulkan persepsi salah terhadap bahasa Melayu.

Menurut Muhammad, orang Melayu sanggup meminggirkan bahasa ibunda kerana salah faham apabila berpendapat bahasa ber­kenaan yang telah bertapak selama 4,000 tahun sebagai ketinggalan.

“Dalam pengembaraan, saya melihat banyak karya besar di da­erah tertentu tidak menggunakan bahasa sukuan untuk sukunya, sebaliknya ditulis dalam bahasa Melayu.

“Hakikat itu membuktikan bahawa bahasa Melayu amat berpengaruh, dipercayai dan mempunyai kelas tersendiri sebagai bahasa lingua franca yang sudah lama wujud di rantau ini.

“Sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak menyatakan kita perlu memartabatkan kembali bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu sudah ada martabat. Apa yang perlu kita buat adalah memberikan haknya kembali atau menempatkan pada tempatnya yang hak,” ujarnya.

Antara yang boleh dilakukan, jelas beliau, adalah dengan meng­ubah kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu supaya lebih berkesan.

“Bahasa Melayu tak diajar dengan baik, tak ada kasih sayang, bila mengajarnya. Tadi dalam teksi, pemandu bukan Melayu sama sekali tidak dapat bercakap menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul. Apa telah jadi pada sistem (pendidikan) kita?

“Belajarlah dari negara yang tidak membuang bahasanya se­perti Sweden, Norway, Iceland dan Belanda. Misalnya, di Belanda, bahasa Inggeris diper­kenalkan hanya pada semester pertama sekolah menengah, tetapi pelajarnya dapat menguasai bahasa itu dengan lebih baik berbanding pelajar kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar me­minta mana-mana pihak yang di­didik dalam aliran Melayu supaya tidak kesal kerana banyak karya-karya hebat yang telah dihasilkan dalam Bahasa Kebangsaan.

“Sebagai anak kampung berpendidikan dalam aliran Melayu, saya tidak malu, sebaliknya bersyukur kerana ramai teman seangkatan berjaya dalam bidang masing-masing.

“Saya tidak rasa kurang atau kesal. Ini kerana, sejak sekolah rendah lagi saya telah dikenalkan dengan karya-karya besar Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin.

“Namun, saya rasa masyarakat kita kurang beri penghargaan kepada karya-karya Melayu dan tokoh-tokoh pujangga yang kita ada selama ini yang sepatutnya diangkat ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan Anwar itu mendedahkan hakikat nasib Sasterawan Negara yang seolah-olah dipinggirkan.

Tidak ramai mengenali 13 tokoh yang telah diberikan anugerah itu. Lima daripadanya telah meninggal dunia dan yang masih hidup, ada dalam kalangan mereka sudah uzur.

Buktinya, tiada orang Melayu yang bangkit membela apabila sekumpulan ahli politik bukan Melayu mempolitikkan novel Interlok karya Allahyarham Datuk Abdullah Hussain pada 2011.

Mereka mahu karya Sastera­wan Negara itu diharamkan daripada digunakan oleh pelajar Tingkatan Lima sebagai komponen kesusasteraan bagi subjek Bahasa Malaysia sedangkan novel itu tidak mengandungi unsur rasis seperti didakwa.

Peminggiran sasterawan tempatan telah lama berlaku. Ketika ramai pihak di Malaysia memperingati tarikh 400 tahun sasterawan Inggeris, William Shakespeare meninggal dunia pada tahun lalu, tiada siapa pun memperingati Bendahara Paduka Raja Johor, Tun Sri Lanang.

Beliau menghasilkan buku Sulalatus Salatin yang dianggap banyak pengkaji sebagai paling lengkap mengenai sejarah Melayu dengan gaya bahasa cukup indah.

Walaupun realiti di Malaysia jelas sekali tidak berpihak kepada Bahasa Kebangsaan, perkara itu boleh diubah jika semua orang Melayu mengambil tindakan tidak lagi menjadi pengkhianat dengan mengembalikan hak bahasa Melayu.

Oleh : Nizam Yatim

No comments:

Post a Comment