Tuesday, August 15, 2017

Presiden Sekadar Simbolik

Berubahkah nasib kaum Melayu di Singapura?
Jawatan Presiden Singa­pura, bunyinya gah sekali tetapi hanyalah simbolik tanpa memiliki sebarang kuasa politik.

Lantaran itu, tidak menghai­rankan jika ramai dalam ka­langan masyarakat Melayu di ne­gara pulau ini menyifatkan pemilihan mereka untuk menduduki kerusi ketua negara itu bukanlah perkara luar biasa atau ‘membanggakan’.

Malah belumpun lagi berlangsung pilihan raya presiden yang dijangka pada bulan depan, bekas Speaker Parlimen, Halimah Yacob, 62, sudah dicongak akan memenangi jawatan itu.

Selain berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam, Ha­limah juga dikhabarkan sebagai ‘individu terpilih’ oleh kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Lebih-lebih lagi kerana hu­bungannya dengan parti peme­rintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pernah menjadi ahli Parlimen mewakili PAP selama 16 tahun.

Tidak ramai yang mungkin percaya penegasan Hsien Loong sebelum ini bahawa beliau tidak mempunyai calon tertentu bagi jawatan itu, segala-galanya bergantung kepada mereka yang mahu bertanding manakala kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengaturnya.

Pada sisi lain, benarkah jawatan presiden itu hanya sekadar ‘boneka’ sedangkan selama 47 tahun jawatan itu didominasi oleh golongan bukan Melayu dan jika benar adakah presiden bukan Melayu sebelum ini selesa dengan gelaran itu.

Mungkinkah kerana kaum bukan Melayu di Singapura diberi keutamaan dan kelebihan dalam apa juga bidang maka presiden terlibat tidak perlu berhempas pulas untuk memikirkan nasib kaum masing-masing maka jawatan presiden adalah suatu kelebihan untuk mereka.

Justeru apabila seorang Me­layu memegang jawatan Pre­siden maka sudah pasti hala tuju kaum Melayu di Singapura diberi perhatian kerana kaum itu se­ring menyifatkan mereka sebagai golongan terpinggir di negara sendiri.

Maka bukan sahaja Halimah yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam per­khidmatan awam dan tiga tahun sebagai Speaker Parlimen malah calon lain juga mungkin ‘seharusnya’ memikirkan cara untuk menyelesaikan isu kaum Melayu di negara ini.

Kata Menteri Hal Ehwal Agama Islam republik itu, Yaacob Ibrahim, orang Melayu Singapura ketinggalan dalam bidang pendidikan dan sering dikaitkan dengan jenayah dan pengganas.

Mungkin pengharapan kaum Melayu di Singapura terhadap presiden baharu nanti tidaklah setinggi harapan mereka agar kaum Melayu diberi peluang memegang jawatan menteri kanan dalam Kabinet atau Perdana Menteri tetapi sekurang-kurangnya wujud ‘perubahan’ positif buat mereka.

Selain Halimah, jawatan presiden itu juga bakal ditan­dingi oleh Pengerusi Bourbon Offshore Asia Pacific, Farid Khan, 62, dan Ketua Eksekutif Second Chance Properties, Salleh Marican, 67.

Kata Halimah, walaupun Presiden Si­­ngapura tidak mempunyai ku­asa eksekutif tetapi jika terpilih beliau mahu membantu dalam membentuk ma­syarakat menerusi inisiatif dan ucap­annya.

“Saya tidak boleh membu­at dasar dan undang-undang tetapi saya mahu membina ma­syarakat yang progresif, menye­luruh, me­ngambil berat dan mempunyai rasa belas kasihan,” katanya.

Kira-kira 74 peratus rakyat Singapura berketurunan Cina manakala kaum Melayu mewakili 13 peratus dan kaum India pula hanya sembilan peratus daripada sejumlah 5.6 juta penduduk.- www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment